LELAKI ditemukan maut dengan empat kesan tembakan di kepala berdekatan Balai Polis Sungai Jarom. FOTi ihsan IPD Kuala Langat
LELAKI ditemukan maut dengan empat kesan tembakan di kepala berdekatan Balai Polis Sungai Jarom. FOTi ihsan IPD Kuala Langat
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Lelaki warga tempatan ditemukan maut dengan empat kesan tembakan di kepala berdekatan Balai Polis Sungai Jarom, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 39 tahun ditemui anggota sukarelawan polis yang sedang bertugas di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, anggota sukarelawan itu mendengar beberapa letupan kuat dan terus menuju ke kawasan kejadian sebelum menemui mangsa terbaring di bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat empat kesan tembakan di kepala.

"Petugas Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang yang hadir mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, Unit Forensik Kontinjen Selangor yang hadir ke lokasi menemui lima kelongsong peluru.

Katanya, siasatan polis turut mendapati mangsa mempunyai 13 rekod lampau pelbagai kesalahan.

"Polis sedang giat mengesan suspek dan menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di 03-31872222," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 2:47 PM