Datuk Adam Rosly Abdullah
Datuk Adam Rosly Abdullah
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah menafikan dakwaan beliau mendera bekas pembantu rumahnya.

Adam Rosly berkata, ini adalah tuduhan yang berniat jahat yang dibuat oleh bekas pembantu rumahnya.

"Dia memfitnah saya mencederakannya dengan kejam dan melayannya dengan teruk sekali sepanjang bekerja dengan saya.

"Ini adalah tuduhan yang sangat keji, pelik dan tidak munasabah yang saya yakin ada pihak yang sengaja membesarkan isu ini bagi memburukkan maruah saya, keluarga dan masa depan saya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, beliau dan keluarga sudah dipanggil oleh pihak polis untuk memberikan keterangan dan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan video bagi menyangkal fitnah jahat ini.

"Kami sudah berikan kerjasama baik berserta bukti penjagaan kesihatan yang kami lakukan kepada bekas pembantu rumah itu, membuktikan kami sentiasa menjaga semua pembantu rumah dengan baik.

"Semua sudah kami berikan kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Beliau sekali lagi menyangkal dengan keras tuduhan ini dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak polis untuk menyiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 9:58 PM