Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tiada petunjuk baharu diperoleh polis berhubung siasatan kes penemuan objek yang disahkan bom jenis Improvised Explosive Device (IED) diletakkan pada kereta aktivis, Siti Kasim atau nama sebenar Siti Zabedah Kasim, 21 Julai lalu.

Mengesahkan perkara itu, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut tidak menunjukkan ada suspek boleh disyaki (potential suspect).

Beliau yang juga bakal Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata, rakaman CCTV berkenaan tidak menunjukkan kenderaan milik Siti Kasim didekati mana-mana individu yang boleh disyaki.

Menurutnya, pihaknya juga tidak menemukan sebarang cap jari individu disyaki di kenderaan itu.

"Buat masa ini, kita tidak ada petunjuk untuk menjuruskan kepada sesiapa namun siasatan masih dibuka dan kes berkenaan tidak pernah ditutup.

"Kita harap, sesiapa yang ada maklumat boleh panjangkan kepada pihak kita bagi siasatan lanjut," katanya selepas Majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

PENGARAH Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Seri Azri Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Mohd Shuhaily (kiri) kepada Allaudeen Abdul Majid (kanan). FOTO Amirudin Sahib
PENGARAH Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Seri Azri Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Mohd Shuhaily (kiri) kepada Allaudeen Abdul Majid (kanan). FOTO Amirudin Sahib

Pada 31 Julai lalu, polis mengambil keterangan 13 individu terdiri daripada mangsa, rakan-rakan, mekanik, dan pengawal keselamatan kediaman mangsa.

Kesemua mereka dipanggil dalam lingkungan berusia antara 26 hingga 60 tahun.

Hasil siasatan dan pemeriksaan polis mendapati bahan letupan terbabit sempurna dan lengkap untuk berlakunya letupan.

Antara bahan ditemukan dipercayai untuk menghasilkan bahan letupan itu adalah kain, diesel, wayar, bateri dan mercun.

Ketika bom itu ditemukan, ia dalam keadaan 'switched off' (tertutup) dan untuk menghidupkannya perlu ditekan suis itu secara fizikal.

IED yang ditemui di bawah kereta Siti Kassim.
IED yang ditemui di bawah kereta Siti Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 2:18 PM