Muhaamad Hafis Nawawi dan Redzuan Muharam dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Sebuah hotel di Jalan Conlay gempar selepas menerima panggilan ancaman bom daripada seorang lelaki tidak dikenali dengan menggunakan bahasa Inggeris malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pada jam 8.07 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima satu laporan polis berkenaan ugutan ancaman bom melalui panggilan telefon di sebuah hotel Jalan Conlay, di sini.

Menurutnya, sebaik saja laporan diterima, siasatan dilakukan yang mana elemen Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman dan Cawangan Siasatan Khas (D9) Dang Wangi digerakkan bagi melakukan pemeriksaan di premis terbabit.

"Tindakan Security Flushing (Pembersihan Keselamatan) bom dijalankan secara rapi di lobi, di dewan, di tiga kawasan tempat letak kereta, di keseluruhan 13 tingkat hotel dan kawasan luar hotel namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan dalam kes ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di IPD Brickfields, di sini, hari ini.

ALLAUDEEN ketika sidang media di IPD Brickfields. FOTO Eizairi Shamsudin
ALLAUDEEN ketika sidang media di IPD Brickfields. FOTO Eizairi Shamsudin

Beliau berkata, polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

"Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang. Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terbabit," katanya.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan terus ke Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 1:04 PM