TAPAK pusat pelupusan sampah di Tanjung Langsat, Pasir Gudang yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
TAPAK pusat pelupusan sampah di Tanjung Langsat, Pasir Gudang yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Bomba mengambil masa kira-kira enam jam untuk memadamkan kebakaran sebuah tapak pusat pelupusan sampah di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Mohd Yusri Atan berkata, pihaknya berjaya memadam kebakaran sebelum menamatkan operasi pada 6.25 petang.

"Pusat pelupusan sampah itu berkeluasan 5.26 hektar dengan kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan kira-kira 2.83 hektar.

"Seramai sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran bagi menjalankan operasi pemadaman.

"Seramai 13 orang anggota dari Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) turut membantu membuat pemadaman di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sedang menjalankan pemantauan kualiti udara bagi mengenal pasti sama ada berlaku pencemaran udara akibat kebakaran tapak pelupusan sampah itu.

Pengarahnya, Dr Famey Yusoff berkata, pemantauan kualiti udara itu dilakukan pihaknya dengan kerjasama MBPG.

"Buat masa ini, bomba masih lagi mengawal keadaan bagi memastikan kebakaran tapak pelupusan sampah itu dipadam sepenuhnya.

"Pada masa sama, JAS serta MBPG sedang melakukan pemantauan kualiti udara di kawasan sekitar, khususnya yang membabitkan kawasan kediaman," katanya ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 3:09 PM