Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Ibu dan kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki yang juga anak wanita terbabit dengan cara mendera hingga menyebabkan kematiannya, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan Izuhaizad Ismail, 37, kelihatan tenang dan memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur 'Atiqah Sapari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9, di Taman Panglima, Assam Kumbang, di sini, antara 10.30 pagi 29 Julai lalu hingga 10.52 pagi 30 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia dengan kesan lebam pada seluruh badan dipercayai akibat didera di sebuah rumah di Taman Panglima, Assam Kumbang, di sini, pada 30 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid dilapor berkata, polis menahan ibu kandung mangsa bersama teman lelakinya di lokasi kejadian pada hari yang sama.

Kejadian dera terhadap anak kedua daripada lima beradik itu dipercayai berlaku sejak Mac lalu.

Siti Farina (dua dari kanan) dan Izuhaizad (depan) tiba di Mahkamah Majistret Taiping. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI
Siti Farina (dua dari kanan) dan Izuhaizad (depan) tiba di Mahkamah Majistret Taiping. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 11:40 AM