Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Lelaki dihukum denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah dengan niat menganiayai mangsa, tiga tahun lalu.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhi hukuman itu terhadap Muhamad Asyraf Ahmad Suhaimi, 28, mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Selain denda, Rohaida turut memerintahkan supaya barang kes iaitu telefon pintar dan kad sim telco mangsa dilupuskan.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar dan membuat serta memulakan penghantaran komunikasi menggunakan aplikasi Telegram dengan niat menganiayai orang lain, 1.57 pagi 8 Januari 2020.

Imej lucah itu dibaca oleh wanita yang seterusnya membuat aduan pada hari sama.

Tertuduh kemudiannya ditahan pada 5 Oktober tahun sama dalam serbuan polis bersama SKMM di Taiping.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman dan tertuduh yang hadir bersama bapanya ke mahkamah, tidak diwakili peguam.

TERTUDUH ketika dibawa keluar dari kamar perbicaraan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
TERTUDUH ketika dibawa keluar dari kamar perbicaraan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 12:21 PM