Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Ibu tunggal tujuh anak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak, Julai lalu.

Pengakuan itu direkodkan daripada tertuduh, K Seroja Devi, 46, di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir berpandukan Seksyen 289 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan cuai menyebabkan haiwan peliharaannya mencederakan Nurilmi Natrah Mohd Muzri berusia 12 tahun, di hadapan rumah beralamat di No 139, Lorong 1, Kampung Larut Tin Sambungan, di sini, kira-kira 5 petang, 10 Julai lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ibu tunggal tujuh anak, K Seroja Devi, 46, sebelum dibawa masuk ke kamar perbicaraan Mahkamah Majistret Taiping, di sini atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak, Julai lalu.  FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Ibu tunggal tujuh anak, K Seroja Devi, 46, sebelum dibawa masuk ke kamar perbicaraan Mahkamah Majistret Taiping, di sini atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak, Julai lalu. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Faakihin Ahmad Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Hamzah.

Nur Faakihin memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan RM2,000 sebelum pembelaan meminta jumlah itu dikurangkan kerana mengambil kira tertuduh hanya mengambil upah sebagai tukang masak bagi menyara hidup di serta menyara anak.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 25 Oktober depan untuk menunggu hasil laporan perubatan mangsa sebelum hukuman dijatuhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 2:13 PM