GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) memohon peruntukan RM42 juta diumumkan kerajaan bagi pelaksanaan Program Bina Kerjaya dapat ditumpukan untuk mewujudkan program berkaitan keusahawanan bagi menjamin masa depan golongan itu.

Presiden Penghantar Zulhelmi Mansor berkata, inisiatif itu penting kerana majoriti penggiat p-hailing adalah golongan belia B40 yang perlu diberi jaminan dengan ilmu dan kemahiran semasa, agar tidak sekadar menjadi rakan penghantar pada masa depan.

"Kita tidak nafikan industri gig dan p-hailing ini boleh menjamin masa depan sekiranya ditambah baik, namun kita juga harus membantu mengembangkan lagi ilmu dan pengalaman mereka dengan lebih baik," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cenderung untuk menjadi pekerja ekonomi gig daripada menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi.

"Mereka tidak boleh disalahkan berhubung perkara ini, keputusan itu dibuat kerana situasi ekonomi dunia dan Malaysia yang tidak stabil, selain mengambil kira faktor gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup.

"Dengan bantuan yang kerajaan umumkan, kita berharap ia boleh diperuntukkan kepada program kemahiran lain, yang mungkin boleh membantu kita melahirkan usahawan dalam kalangan penggiat p-hailing," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat baru-baru ini, memaklumkan mengenai peruntukan RM42 juta bagi Program Bina Kerjaya untuk pekerja tidak formal termasuk pekerja gig.

Anwar berkata usaha menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu bertindak sebagai program peningkatan kemahiran golongan tersebut dan turut membabitkan pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah.

Pengumuman lain termasuk jaminan kerajaan memperluas jaringan perlindungan sosial dengan sebanyak RM100 juta diperuntukkan tahun ini bagi menyediakan 80 peratus geran untuk membiayai caruman Perkeso pekerja gig.

Dalam hal ini, Zulhelmi menyarankan agar syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing memastikan setiap rakan penghantar berdaftar dan mempunyai caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang aktif, bagi memastikan mereka dilindungi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Sekiranya tiada caruman SKSPS atau caruman tidak aktif, pengendali p-hailing (PHO) perlu menggantung sementara ID penggiat p-hailing bagi memastikan mereka mempunyai Perlindungan Sosial Bencana Kerja yang menjamin kebajikan diri dan waris.

"...dan jika terdapat penggiat p-hailing yang diperiksa dan disahkan tidak mempunyai caruman SKSPS atau caruman tidak aktif, PHO juga wajib dikenakan tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 10:32 AM