MOHAMED Khaled (kiri) meninjau kemudahan hospital pada Majlis Perasmian Pengoperasian Klinik Pakar Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). FOTO Ghazali Kori
MOHAMED Khaled (kiri) meninjau kemudahan hospital pada Majlis Perasmian Pengoperasian Klinik Pakar Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). FOTO Ghazali Kori
Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Dua hospital pengajar untuk Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dalam projek pembinaan dijangka siap sepenuhnya, tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua projek hospital terbabit mengalami kelewatan dan sepatutnya sudah disiapkan dua tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati masalah yang berlaku kelewatan disebabkan isu pekerja dan bahan binaan yang harganya berbeza.

"Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah berjaya mengatasi semua isu dan permasalahan yang berlaku.

"Malah, projek ini juga sedang berjalan dan insya-Allah, tahun depan, kedua-dua hospital ini akan siap sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Perkhidmatan Klinik Pakar Pesakit Luar Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya berharap dua hospital terbabit dapat disiapkan mengikut jadual baharu yang dijangkakan tahun depan.

Difahamkan, hospital pengajar Unimas yang menelan kos lebih RM485 juta mampu memuatkan kapasiti 300 katil apabila siap nanti.

Hospital pengajar UMS yang memuatkan 400 katil, 25 dewan pembedahan, 12 unit bersalin dan pelbagai kemudahan infrastruktur menelan kos berjumlah RM652 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 9:47 AM