Wan Sukairi Wan Abdullah.
Wan Sukairi Wan Abdullah.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Kelewatan pengoperasian Hospital Dungun yang baharu disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah berkaitan kontraktor utama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ancaman Covid-19 juga mendorong projek lewat siap.

"Kita akui kelewatan yang disebabkan beberapa faktor termasuk keperluan pematuhan kepada keperluan kefungsian dan pengoperasian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaan PKP ketika negara dilanda Covid-19.

"Setakat ini projek yang dibina di atas tapak seluas 6.13 hektar sudah siap 99 peratus dan ia dijangka boleh beroperasi tahun depan.

"Siapnya Hospital Dungun nanti, ia akan menjadi hospital pakar ketiga di Terengganu selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Kemaman," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, hospital yang baharu itu dicadang menjadi pusat rujukan kepada klinik kesihatan dan klinik desa di sekitar Dungun.

Katanya, ia juga akan dapat mengurangkan kesesakan di HSNZ dan Hospital Kemaman apabila beroperasi.

Menurutnya, bangunan hospital mampu mencapai kapasiti 110 katil dengan 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatri, pergigian dan patologi yang membabitkan kos RM125 juta.

"Kita faham kekangan dan kesusahan dihadapi penduduk di daerah ini termasuk mereka yang terpaksa berulang alik ke HSNZ dan Hospital Kemaman dan kita harap penduduk dapat bersabar.

"Saya juga dimaklumkan Kementerian Kesihatan sudah mengetahui masalah yang mengakibatkan kelewatan itu dan menjangkakan ia akan beroperasi tahun depan.

"Apabila ia siap nanti, ia akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dan kita harap, tidak lagi tertangguh demi kebaikan semua pihak," katanya.

Untuk rekod, projek pembinaan Hospital Dungun itu diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dengan kos sebanyak RM125 juta.

Projek yang bermula Februari 2016 itu sepatutnya siap pada 2019.

Semalam, akhbar ini melaporkan desakan penduduk yang mahu Hospital Dungun disiapkan segera dan beroperasi secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 8:08 AM