KEADAAN asrama lelaki Sekolah Agama Rakyat (SAR) Pondok (P) Nurul Ihsan, Kampung Tinusa Satu, Sandakan. Foto HAZSHAH ABDUL RAHMAN.
KEADAAN asrama lelaki Sekolah Agama Rakyat (SAR) Pondok (P) Nurul Ihsan, Kampung Tinusa Satu, Sandakan. Foto HAZSHAH ABDUL RAHMAN.
Hazsyah Abdul Rahman


TIDUR di atas lantai beralaskan tikar dan terpaksa bersesak dalam asrama yang sempit antara situasi dilalui murid dan pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Pondok Nurul Ihsan, Kampung Tinusa Satu di Sandakan.

Sekolah pondok berusia lebih 25 tahun itu semakin daif berikutan kesukaran pentadbir melaksanakan kerja pembaikan dan penambahan kemudahan disebabkan kekurangan dana.

Warden asrama yang juga guru Mohd Raziman Omar, 27, berkata keadaan itu memaksa pihak sekolah menempatkan pelajar dalam bilik asrama yang sempit tanpa kemudahan selesa.

“Semua yang tinggal di asrama terpaksa tidur beralaskan tikar di atas lantai. Kami tidak menggunakan tilam dan katil kerana ruangan asrama sangat sempit dan terhad. Kalau ada peralatan seperti itu, pasti lebih sesak.

“Ketika ini seramai 44 pelajar lelaki dan 50 pelajar perempuan tinggal di sini. Jadi kami sangat berharap pihak berwajib dapat datang melihat keadaan kami dan membantu mengatasinya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan sekolah berkenaan, Shohibarry Abdul Ghafur berkata, ketika ini seramai 544 pelajar mengikuti pembelajaran di sekolah pondok itu dengan bimbingan 15 guru .

Katanya, disebabkan ruang yang sempit dan terhad, sebahagian besar murid dan pelajar serta guru tinggal di luar.

“Keadaan bangunan asrama dan sekolah juga sudah terlalu daif. Tiang bahagian dapur asrama perempuan sudah membengkok. Ada siling asrama lelaki juga hampir roboh.

“Bukan itu saja, lantai kelas yang terletak di tingkat atas asrama lelaki juga sudah tidak rata. Kebanyakan papan lantai dan dinding sudah mereput,” katanya.

Menurutnya, semua peralatan sekolah itu ketika ini adalah alat yang digunakan sejak mula dibina pada 1992.

Katanya, pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2019 baru-baru ini yang turut menyediakan peruntukan khas RM50 juta untuk sekolah pondok dan tahfiz diharap dapat mengubah keadaan sekolah itu.

“Selama ini, SAR, tahfiz dan sekolah pondok agak terpinggir. Namun kali ini diberikan peruntukan khas yang pada saya sangat baik dan memperlihatkan kepekaan kerajaan baharu terhadap institusi pendidikan Islam.

“Dengan mengetengahkan sekolah agama dan pondok, ia akan membawa kepada perubahan masyarakat ke arah sahsiah lebih baik,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu SAR dan Pondok Nurul Ihsan Kampung Tinusa Satu boleh menghubungi Shohibarry di talian 014-3792766.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 12:18 PM