Noorazura Abdul Rahman


Sik: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan terus menerajui FELDA sehingga kesemua masalah pokok agensi itu dapat diselesaikan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ini kerana beliau lebih arif mengenai masalah FELDA dan tidak mahu masalah itu hanya diselesaikan sikit demi sikit sekiranya berada di bawah kementerian lain.

"FELDA ini punya sejarah sendiri, jasa bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan setakat saya menjadi Perdana Menteri, FELDA di bawah saya, sebab apa orang tanya tak bagi kepada orang lain, saya kata tak, sebab saya tahu masalah FELDA.

"Saya nak selesaikan semua masalah pokok FELDA, nampak selesai perkara pokok FELDA baru saya serahkan kepada Menteri lain, la ni (sekarang) FELDA di bawah Perdana Menteri, sebab dia itulah kerana banyak masalah dan saya tak mahu ambil sikit-sikit selesai," katanya ketika berucap pada Karnival Segalanya FELDA di Padang Awam FELDA Teloi Timur, di sini, hari ini.

Anwar berkata setakat ini beliau sudah memberi mandat penuh kepada Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk menyelesaikan masalah asas agensi itu.

Katanya, beliau yakin Ahmad Shabery mempunyai keupayaan dan serius dalam menangani isu-isu berkaitan FELDA.

"Saya kata jalan kerja, kalau ada masalah beritahu saya dan insya-Allah saya akan cuba doa Nabi Shuib.. Saya akan cuba bawa perubahan sedaya upaya kita.

"Tapi kalau sistem negara kita ini memerlukan sokongan rakyat maka untuk FELDA dan saya mahu peneroka FELDA generasi pertama, kedua dan ketiga tunjuk komitmen yang baik kerana saya sedaya upaya saya untuk selesaikan (masalah-masalah) dalam masa yang singkat," katanya.

Untuk rekod, Anwar pada akhir Jun lalu menandatangani dokumen pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion selain mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.7 juta setahun bagi menanggung kos operasi lampu jalan di kawasan FELDA.

Kerajaan juga akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah FELDA dan sebuah lagi di premis Yayasan FELDA di Kelana Jaya yang dijangka dapat memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit di kawasan rancangan itu.

ANWAR berucap pada Majlis Karnival Segalanya FELDA di Padang Awam Felda Teloi Timur, Jeneri, Sik, hari ini. FOTO Syaharim Abidin.
ANWAR berucap pada Majlis Karnival Segalanya FELDA di Padang Awam Felda Teloi Timur, Jeneri, Sik, hari ini. FOTO Syaharim Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 8:40 PM