Noorazura Abdul Rahman


Sik: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan terus memberikan 'soalan-soalan' untuk dijawab Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas sering 'menyerang' pentadbiran beliau sejak akhir-akhir ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berkata menteri itu disifatkan terlalu 'rajin' menyiasat justeru soalan itu akan memberi tugasan kepada Saifuddin untuk membuat siasatan tambahan.

"Saya ada soalan tiap-tiap hari untuk dia sehari satu, satu. Saya janjilah nanti saya akan tembak sehari satu, satu.

"Dia rajin kan siasat itu siasat ini (sehingga) yang tak perlu yang dah disiasat pun dia siasat lagi dia rajin kita bagi dia kes untuk disiasat," katanya ketika ditemui selepas pengumuman rasmi calon oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya DUN Jeneri Mahamad Suhaimi Man di Pejabat Daerah dan Tanah Sik, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi bakal berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua Umno Bahagian Sik.

Ketika ditanya adakah Saifuddin sudah menjawab soalan pendedahan beliau mengenai projek yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian besar di bawah pemerintahan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, beliau berkata setakat ini Saifuddin tidak menjawab sebarang persoalan yang didedahkan.

MUHAMMAD Sanusi  melambai tangan kepada penyokong selepas selesai penamaan calon pada Majlis Penamaan Calon N24 Jeneri di Pejabat Daerah dan Tanah Sik hari ini. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi melambai tangan kepada penyokong selepas selesai penamaan calon pada Majlis Penamaan Calon N24 Jeneri di Pejabat Daerah dan Tanah Sik hari ini. FOTO Syaharim Abidin

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin menggunakan Jabatan Imigresen untuk mendaftar masuk hotel ketika kempen beliau di Langkawi semalam.

Katanya, tindakan Setiausaha Agung PKR itu adalah salah kerana menggunakan jentera kerajaan dalam kempen politik.

"Kelmarin (semalam) pun dia kempen di Langkawi guna Jabatan Imigresen untuk daftar masuk hotel.

"Tak boleh program parti guna agensi kerajaan itu salah. Saya tak pernah buat kerja tu. Tak boleh diterima oleh rakyat," katanya.

Terdahulu menerusi Facebook beliau, Muhammad Sanusi turut memuat naik gambar invois tempahan hotel di Langkawi atas nama Jabatan Imigresen.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut menjangkakan proses kempen selama dua minggu ini akan berlaku fasa serangan yang berterusan terhadap dirinya.

"Serang lah apa pun kan. Saya boleh jawab saya jawab, yang tak boleh jawab saya serah Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 12:56 PM