GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis sedang menyiasat satu kes tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pelajar perempuan tingkatan dua dicabul ketika dalam perjalanan ke sekolah, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh bapa mangsa berusia 42 tahun, kira-kira 11.15 pagi hari kejadian.

"Menurut bapa mangsa, anak perempuannya berusia 14 tahun yang menunggang motosikal bersendirian ke sekolah mendakwa berlaku gangguan seksual ketika berada di Jalan Haji Masjoyo, Jenjarom.

"Menurut laporan itu, mangsa memberitahu kejadian berlaku semasa dia sedang menunggang motosikal untuk ke sekolahnya yang sejauh lima kilometer dari lokasi kejadian.

"Semasa dalam perjalanan itu melalui Jalan Haji Masjoyo, mangsa diekori oleh suspek, seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

"Suspek yang disyaki warga tempatan, datang dari arah belakang lalu meraba bahagian sulit mangsa dan terus beredar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh mangsa.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dihukum sebat jika disabitkan kesalahan.

"Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu laporan polis yang dipercayai dibuat oleh bapa mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 5:22 PM