GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Polis Kuala Langat menegaskan bahawa tiada insiden cubaan culik seorang pelajar perempuan di daerah ini seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya terdahulu mengesan hantaran yang tular mengenai dakwaan berlaku insiden cubaan culik remaja berusia 17 tahun itu, hari ini.

Beliau berkata, pada Jumaat lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerima satu laporan daripada seorang pelajar perempuan mengenai seorang individu dikatakan berkelakuan mencurigakan keluar dari sebuah kereta.

"Bagaimanapun, dari siasatan awal ke atas laporan berkenaan mendapati tiada sebarang cubaan culik berlaku seperti yang ditularkan.

"Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut tentang laporan tersebut bagi mengesahkan kejadian sebenar yang berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp satu hantaran menyatakan bahawa seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun hampir menjadi mangsa culik.

Menerusi hantaran itu, remaja berkenaan dikatakan cuba ditarik masuk ke dalam sebuah kereta berwarna putih oleh individu yang didakwa memakai topeng.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 10:04 PM