GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Hasbi

Seremban: Terpedaya dengan pulangan lumayan yang ditawarkan, dua individu dilaporkan melabur lebih RM1 juta dalam pelaburan tidak wujud sebelum menyedari diperdaya.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima dua laporan polis membabitkan penipuan pelaburan berkenaan pada Isnin lalu.

"Kes pertama membabitkan seorang wanita berusia 44 tahun yang kerugian RM621,800. Laporan dibuat di Balai Polis Bahau, Jempol.

"Berdasarkan laporan, pada 16 Mac lalu, mangsa yang juga pekerja syarikat swasta melihat profil yang menawarkan pelaburan emas ketika melayari aplikasi TikTok sebelum menghubungi pemilik akaun terbabit," katanya pada kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemilik akaun memberitahu mangsa bahawa pelaburan yang dijalankan menawarkan pulangan lumayan menyebabkan mangsa berminat untuk melabur.

"Mangsa diberikan pautan laman sesawang dan beberapa nombor akaun serta diminta memasukkan wang ke akaun terbabit.

"Mangsa membuat 27 kali transaksi berjumlah RM621,800 dan hanya memperoleh pulangan RM20,000. Selepas itu dia tidak mendapat sebarang pulangan," katanya.

Menurut beliau, kes kedua diterima di Balai Polis Paroi yang mana mangsanya, wanita berusia 63 tahun kerugian RM500,000.

"Ahli keluarga warga emas itu memperkenalkan satu syarikat pelaburan di ibu negara pada Jun 2020. Mangsa bersetuju untuk menyertai pelaburan ini dengan dijanjikan keuntungan antara 15 hingga 17 peratus sebulan selama tiga tahun.

"Mangsa menyerahkan RM500,00 sebelum menerima pulangan RM6,250 sebulan selama enam bulan yang dimasukkan ke akaun banknya.

"Bagaimanapun, bermula Januari 2021 sehingga laporan polis dibuat, mangsa tidak menerima sebarang pulangan selain mendapati syarikat berkenaan ditutup," katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 12:01 PM