GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberi masa selama tiga bulan untuk kembali berbincang dengan komuniti p-hailing bagi menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit dalam industri itu.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor berkata, perkara itu antara maklum balas segera yang dinyatakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam pertemuan antara mereka, kelmarin.

Dalam pertemuan itu, Zulhelmi berkata, Ka Siong turut meminta syarikat syarikat penyedia p-hailing menyelesaikan masalah yang timbul akibat kegagalan komunikasi antara mereka dengan Penghantar.

"Apad dan JPJ diberi tempoh selama tiga bulan untuk melihat perkara itu dan kita akan bertemu mereka selepas itu.

"Kita juga faham masalah ini berlaku berikutan belum ada polisi undang-undang dan apa yang kita mahu adalah kompromi dan menggesa pihak syarikat untuk melihat semula kadar pembayaran itu dan menambah baik aplikasi. Kita juga mahu semua perkara harmoni dengan semua pihak," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kelmarin, Penghantar bertemu dan menghantar memorandum yang mengandungi penyelesaian jangka pendek mengenai masalah yang berlaku dalam industri p-hailing.

Antara cadangan yang diutarakan demi kebajikan penghantar adalah harga lantai untuk caj penghantaran dan pengambilan pesanan.

Ia susulan kempen protes yang dilancarkan penghantar pada Jumaat lalu akibat tidak berpuas hati dengan potongan kadar upah perjalanan mereka.

Sementara itu, Penghantar tidak menolak kemungkinan mereka akan menyertai kumpulan penunggang p-hailing untuk berkumpul melakukan bantahan di Kementerian Pengangkutan (MOT) selepas cadangan oleh kementerian itu mahu mewajibkan pemilikan lesen kenderaan barangan (GDL).

Zulhelmi berkata, ia berikutan ahli persatuan itu begitu marah dengan cadangan terbabit yang didakwa timbul secara tiba-tiba, iaitu ketika penunggang sedang dihimpit dengan bayaran upah yang didakwa tidak adil.

"Kami menyahut cadangan melakukan bantahan oleh ramai penunggang yang tidak marah dengan cadangan GDL yang tiba-tiba muncul itu, sedangkan kami dan MOT bersemuka untuk berbincang mengenai isu lain yang lebih penting. Penghantar akan bersolidariti bersama dengan penunggang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai GDL, Zulhelmi berkata, tidak sepatutnya untuk penghantar di negara ini diwajibkan untuk mendapatkan lesen yang diketahui disyaratkan kepada pemandu bagi kenderaan berat.

"Kita hadir bertemu menteri untuk memaklumkan permasalahan yang terjadi dalam industri p-hailing tetapi dalam sidang akhbar, menteri memaklumkan akan mewujudkan penyelia di bawah MOT dan tiba-tiba mahu mensyaratkan lesen GDL kepada penghantar.

"Lesen GDL bukan keutamaan kami kerana isu yang ada adalah mengenai kadar harga dan upah yang makin berkurangan kepada kami, lebih baik untuk kementerian memperkasakan skim keselamatan pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya.

Zulhelmi berkata, dalam pertemuan dengan MOT itu juga, mereka tidak dibincangkan mengenai GDL dan ia menyebabkan timbul perasaan kurang senang di kalangan wakil PENGHANTAR yang hadir.

"Kami berpandangan sama sendiri ketika itu dan hanya mendengar sahaja. Seolah-olah minta benda lain, dapat benda lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 2:05 PM