FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Hulu Langat: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menggesa tindakan segera diambil syarikat penyedia platform bagi mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) terhadap penghantar.

Timbalan Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rabu berkata, ketika ini mana-mana individu boleh menjadi penghantar makanan dan barangan walaupun tidak mencarum menerusi program SKSPS di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurutnya, di bawah peruntukan undang-undang, pekerja gig wajib mencarum sendiri untuk bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan, namun akta itu tidak tertakluk kepada penyedia platform menyebabkan ia tidak diendahkan pihak syarikat.

"Di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) kewajipan mencarum pada pekerja bukan kepada syarikat.

"Yang jadi masalah apabila syarikat ini tak peduli… penunggang yang tak mencarum pun dia masih benarkan untuk bekerja.

"Syarikat terbabit boleh menetapkan syarat contohnya sesiapa yang tidak berdaftar atau SKSPS tamat, boleh sekat akaun dia sementara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan faedah kepada waris Allahyarham Mohamad Khairul Nizam Abdul Rashid di Kampung Sungai Michu, di sini, hari ini.

Abdul Hakim berkata, dalam keadaan ekonomi semasa, ramai pihak menganggap cadangan itu begitu keras, namun ia perlu diperkatakan demi kebaikan semua pekerja gig untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, ebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), objektif pihaknya adalah untuk menjaga kebajikan sosial setiap pekerja gig yang sering dipandang sepi.

"Kita bukan ahli politik, kita buat ini untuk kebaikan jangka masa panjang semua pihak. Jadi saya harap syarikat ambil inisiatif… bukan kita minta syarikat bayar pun, kita tahu kita bekerja sendiri.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, saya faham semua orang nak berjimat-cermat tetapi apa yang kita titik-beratkan adalah kebajikan sosial macam ini. Kalau kemalangan macam mana?" katanya.

Beliau berpendapat punca ramai pekerja gig khususnya penghantar makanan tidak mencarum adalah kerana kurang kesedaran dan pendedahan berhubung faedah jika mencarum.

Katanya, Penghantar sudah membawa perkara itu ke pengetahuan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia, namun masih tidak membuahkan hasil.

"Isu kesedaran ini kalau nak harapkan kami NGO sahaja susahlah. Hari-hari ada penunggang baru, hari ini, esok, lusa mesti ada. Jadi mereka ini tidak tahu hal-hal mencarum ini.

"Kita hanya mampu menyuarakan masalah dan memberi cadangan. Kita bukan nak syarikat bayar pun, cuma bantu kita berhubung kebajikan sosial ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 4:11 PM