KEMALANGAN membabitkan dua treler pengangkut yang membawa pelbagai kenderaan Perodua di Kilometer 21.3 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
KEMALANGAN membabitkan dua treler pengangkut yang membawa pelbagai kenderaan Perodua di Kilometer 21.3 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Dua pemandu cedera selepas terbabit kemalangan membabitkan dua treler pengangkut membawa pelbagai model kenderaan Perodua di Kilometer 21.3 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kemalangan itu menyebabkan beberapa kereta yang diangkut treler berkenaan mengalami kerosakan.

"Kemalangan yang berlaku jam 1.52 petang itu membabitkan dua treler yang dalam perjalanan dari Perodua Rawang ke destinasi sama di Klang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, treler yang berada di belakang melanggar lori di hadapan menyebabkan muatan dibawa kedua-dua kenderaan berkenaan mengalami kerosakan.

"Malah, sebuah Perodua Myvi yang dibawa treler terbabit terjatuh dan terbalik di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemandu yang mengalami kecederaan di bahagian kepala itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat, Sarjan Muhamad Aizuddin Awang di talian 0139003499 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 9:39 PM