LOKASI kemalangan maut membabitkan dua beradik di Jalan PJS 3/2 Taman Medan, Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kemalangan maut membabitkan dua beradik di Jalan PJS 3/2 Taman Medan, Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah lori di Jalan PJS 3/2, Taman Medan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, jam 8.54 malam tadi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati motosikal dinaiki dua mangsa iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, dipercayai hilang kawalan.

"Difahamkan, kedua-dua mangsa itu kemudian jatuh, sebelum dilanggar sebuah lori yang melalui jalan berkenaan, di arah sama.

"Kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemandu lori berkenaan yang berusia 35 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat kedua-dua mangsa berkenaan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Rozilah Hussin di talian 0162679025 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 9:33 AM