Lori yang berfungsi sebagai tandas bergerak digunakan sebagai tempat penyimpanan rokok dan kenderaan mengedar rokok seludup. FOTO IHSAN KASTAM
Lori yang berfungsi sebagai tandas bergerak digunakan sebagai tempat penyimpanan rokok dan kenderaan mengedar rokok seludup. FOTO IHSAN KASTAM
Omar Ahmad


Kulai: Ubah suai lori lima tan untuk dijadikan tandas bergerak. Ia kemudiannya dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup.

Itu taktik terkini digunakan sindiket penyeludupan rokok dipercayai bertujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Taktik digunakan mereka bagaimanapun terbongkar selepas serbuan dijalankan di sebuah premis berkunci dan tidak berpenghuni di Kelapa Sawit, di sini, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor, Sazali Mohamad berkata, serbuan jam 11.50 malam itu menemukan 184,200 batang rokok putih dan 32,960 batang rokok kretek dengan anggaran nilai sebanyak RM39,748 dan jumlah duti/cukai sebanyak RM 147,300.40 disembunyikan dalam tandas bergerak yang ditemukan di premis tidak berpenghuni itu.

Menurutnya, premis itu dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan rokok yang diseludup dari negara jiran sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas premis menemukan sejumlah rokok putih dan rokok kretek yang dipercayai belum lulus kastam disembunyikan di dalam lori lima tan berwarna putih yang diubahsuai menjadi tandas bergerak.

"Rokok itu disembunyikan di dalam lori yang berfungsi sebagai tandas bergerak dan diedarkan dengan menggunakan kenderaan sama. Ia bertujuan mengelak daripada dikesan oleh agensi penguatkuasaan dan mengaburi pandangan pihak berkuasa.

"Usaha mengesan pemilik premis dan lori sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 4:28 PM