Tertuduh (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Tertuduh (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak gelang tangan emas milik peniaga kedai runcit.

Tertuduh, Mohd Khuzairi Shaari, 43, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan gelang tangan emas milik mangsa yang berusia 59 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Tok Bintang, Kuala Berang, Hulu Terengganu antara 9.45 sehingga 10.30 malam, 23 Ogos lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 592) berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap satu hari bulan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 2:03 PM