TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 22 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 22 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 22 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol dan meliwat anak kandungnya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 50 tahun didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 377 (c) KK.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun sebulan di sebuah rumah di Hulu Terengganu, jam 12 tengah hari pada 14 Ogos 2019.

Tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama, jam 2 petang pada 26 November 2019.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh turut didapati bersalah atas kesalahan liwat yang dilakukan di lokasi dan masa sama pada 26 November 2019.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua dijalankan secara berasingan manakala hukuman penjara bagi kesalahan liwat berjalan serentak dengan pertuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 Disember 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 6:07 PM