Mohamad Hasrul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Mohamad Hasrul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam.

Tertuduh, Mohamad Hasrul Nizam Sobri, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan samun dengan merompak 12 kotak rokok dan wang tunai RM230.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kampung Losong Mat Shafie di sini, pada 5.15 pagi 4 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 dan 15 hari bulan setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang penganggur dicekup polis selepas disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kampung Losong Mat Shafie, di sini.

Lelaki itu ditahan oleh sepasukan anggota di Jalan Losong Masjid di sini, kira-kira jam 4.15 petang hari yang sama,

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 3:44 PM