RASHIDI pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang. FOTO Danial Saad
RASHIDI pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kembalinya Umno dalam pembentukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas 15 tahun dilihat sebagai peluang keemasan untuk parti itu mewakili aspirasi dan kepentingan orang Melayu di negeri berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican optimis, banyak perkara boleh dilakukan Umno dalam memainkan peranan menerusi pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.

"Saya berasa bersyukur kerana saya bersama dengan (Adun Sungai Acheh) Rashidi (Zainol) dapat menjadi penyumbang kepada perubahan Kerajaan Perpaduan. Insya-Allah, peranan kami di Dewan Undangan Negeri (Dun) nanti untuk pastikan bahawa segala kedudukan dan juga polisi, dasar-dasar kerajaan negeri ini akan dipertahankan semua Adun.

"Saya anggap ini adalah peluang keemasan Umno, tentulah banyak perkara boleh dilakukan sebagaimana kita tahu dalam parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan, Umno mesti dilihat sebagai mewakili aspirasi kepentingan orang Melayu dan Islam apatah lagi di kala banyak kerusi-kerusi Melayu tewas," katanya kepada media di Dewan Sri Pinang, hari ini.

Reezal turut berpandangan, peranan Adun Melayu dalam Kerajaan Perpaduan amat penting dalam mewakili keseluruhan rakyat, terutamanya kaum Melayu dan kepentingan umat Islam di Pulau Pinang.

Terdahulu, Adun tunggal BN, Rashidi mengangkat sumpah sebagai EXCO Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, disaksikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Pengerusi BN Pulau Pinang merangkap Pengerusi Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir mengucapkan terima kasih kepada Reezal kerana memberi laluan kepada muka baharu mewakili BN dalam barisan EXCO Pulau Pinang.

"Walaupun dia (Reezal) orang lama tapi dia beri laluan kepada orang baru. Saya ucap terima kasih atas pengorbanan beliau. Insya-Allah, saya percaya dengan adanya wakil daripada Umno, ia akan memberi semangat dan iktibar kepada ahli Umno untuk terus berjuang bagi mempertahankan bangsa (dan) tanah air ini," katanya.

Sementara itu, Rashidi berkata, beliau akan menggunakan peluang yang diberi untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat sekali gus menyumbang untuk membina kekuatan Umno di Pulau Pinang.

"Kita kalah bukan sebab mereka kuat. Tapi kita kalah sebab (permainan) persepsi yang ada hari ini. Pemimpin Umno dan BN perlu membuat sesuatu yang kita akan bincang.

"Portfolio yang diberikan selari dengan manifesto saya dan bagi saya, mudah untuk saya berurusan, mungkin termasuk juga dengan Kerajaan Pusat sebab kita di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid (Hamidi) yang juga turut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah," katanya.

Dalam pada itu, Rashidi menepis dakwaan kononnya wujud ketegangan dalam hubungannya dengan Reezal disebabkan pelantikan itu kerana mereka bersahabat baik sejak zaman persekolahan.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu menyaksikan Reezal menang kerusi Dun Bertam dengan majoriti lebih tinggi iaitu 2,321 berbanding Rashidi yang meraih majoriti 124 undi.

Selain itu, timbul khabar angin kononnya wujud ketegangan berikutan beliau dipilih menganggotai barisan EXCO Pulau Pinang berbanding Reezal yang juga pemimpin Umno lebih kanan.

Situasi itu dihangatkan lagi dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebar poster ucapan tahniah palsu yang kononnya Reezal akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 3:04 PM