DRON yang dipercayai terjatuh dan terkena kepala seorang wanita di Kuala Kedah. FOTO tular
DRON yang dipercayai terjatuh dan terkena kepala seorang wanita di Kuala Kedah. FOTO tular
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Subang Jaya: Orang awam termasuk pengamal media diingatkan supaya tidak menerbangkan dron di kawasan tumpuan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN), di sini.

Ia susulan kejadian seorang penyokong parti politik cedera akibat terkena dron yang terjatuh dari udara dipercayai berlaku di Kedah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mana-mana individu yang mahu menerbangkan dron perlu mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Larangan ini termasuk pada tiga tarikh penting yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hari penamaan calon pada 29 Julai dan undian awal pada 8 Ogos, hari pembuangan undi 12 Ogos serta sepanjang 14 hari tempoh berkempen.

"Sebarang perlanggaran kepada aktiviti penerbangan termasuk pengendalian dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ia juga melanggar peraturan di bawah Peraturan 98, Peraturan 140-144 Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 17 saat memaparkan seorang mangsa terbaring di jalan selepas ditimpa dron bersaiz besar tular selepas dimuatnaik pengguna Facebook semalam.

Dron berkenaan dipercayai digunakan bagi tujuan pertanian dan tiada tangkapan dilakukan namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan sudah dihantar bagi menerima rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 12:39 PM