PENGANUT agama Hindu berada di Batu Caves untuk melakukan upacara keagamaan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan orang ramai, 13 Januari lalu. FOTO Bernama
PENGANUT agama Hindu berada di Batu Caves untuk melakukan upacara keagamaan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan orang ramai, 13 Januari lalu. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Penggunaan dron di kawasan Kuil Sri Subramanian, Batu Caves, di sini, ketika sambutan Thaipusam oleh mana-mana pihak adalah dilarang sama sekali.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya tidak membenarkan mana-mana pihak untuk menerbangkan dron di kawasan terbabit atas faktor keselamatan.

"Mungkin ada pihak tertentu yang mahu menerbangkan dron bagi mendapatkan gambaran lebih jelas di kawasan berkenaan, namun perbuatan itu tidak dibenarkan sama sekali atas faktor keselamatan.

"Kami membawa kelengkapan mencukupi untuk mengesan mana-mana pihak yang cuba menerbangkan dron di kawasan ini," katanya pada sidang media di Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Asisten Komisioner R Supramaniam dan Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed.

Arjunaidi berkata, penerbangan dron tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR 2016) Peraturan 140-144.

"Berdasarkan peraturan, mana-mana pihak yang mahu menerbangkan dron perlu mendapatkan permit kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Bagaimanapun, di kawasan ini, kami tidak akan membenarkan penerbangan dron bagi mana-mana pihak luar meskipun mereka mempunyai permit daripada CAAM atas faktor keselamatan.

"Kami juga akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan," katanya.

Mengulas mengenai keadaan semasa di kuil berkenaan, beliau berkata, situasi dalam keadaan terkawal dan berjalan lancar, setakat ini.

"Kami mempunyai seramai 1,500 pegawai dan anggota yang bertugas mengawal keselamatan di kawasan kuil ini bermula tengah malam tadi hingga Jumaat ini.

"Kami juga dibantu keanggotaan dari agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM)," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang hadir ke kuil berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan mengimbas kod QR Mysejahtera.

Tinjauan di sekitar Kuil Sri Subramaniam sejak 11 pagi tadi mendapati keadaan lengang dengan tidak ramai pengunjung.

Malah, tiada barisan yang dilihat di tempat beratur untuk menaiki anak tangga kuil terbabit.

Aliran trafik di kawasan sekitar kuil berkenaan juga lancar meskipun semua laluan masuk ke kuil terbabit ditutup bermula tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 1:38 PM