ANWAR (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi Madani Negeri Sembilan di Seremban. FOTO AZRUL EDHAM
ANWAR (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi Madani Negeri Sembilan di Seremban. FOTO AZRUL EDHAM
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan memberikan perhatian serius terhadap bidang pendidikan dengan menyalurkan peruntukan besar tambahan RM2 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia tahun ini.

Perdana Menteri berkata, walaupun mendapati hutang negara mencecah RM1 trilion, namun bidang pendidikan tidak boleh dikompromi.

Kata beliau, soal kemudahan asas di sekolah termasuk tandas, perlu diperbaiki dan ditingkatkan.

"Pihak pembangkang sindir saya, Perdana Menteri tandas, pergi mana-mana bercakap soal tandas sekolah, tapi ini soal tandas sekolah anak kita.

"Kalau jadi pemimpin, jangan fikir sekolah anak di Kuala Lumpur tapi kena ambil kira semua rakyat di negara ini.

"Berapa jumlah yang diperlukan, dinding (tandas) bocor, tapi sudah lebih 61 tahun merdeka.

"Dan satu lagi Klinik Desa, tahun ini saja diperlukan RM1.4 bilion," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Guru-Guru Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk

Pkharuddin Ghazali.

Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan supaya masalah tandas sekolah dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menghargai khidmat dan sumbangan guru dalam bidang pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu dan berketrampilan.

Beliau berkata, walaupun ada kalanya berlaku satu atau dua kes yang mungkin dilihat kurang sihat membabitkan guru seperti dilaporkan media, ia tidak boleh sama sekali mencerminkan keseluruhan profesion keguruan.

"Kadang-kadang kita tengok dalam media, ada (laporan) guru-guru garang sangat atau kasar sangat, sehingga murid takut nak pergi ke sekolah..tak kan lah satu dua kes itu mewakili semua guru.

"Dalam hal ini, liputan media juga perlu adil, majoriti guru itu berjasa, pengalaman saya (bergelar pelajar) tidak dinafikan ada satu dua guru, majoriti guru itu sangat baik, sangat berjasa, khidmatnya luar biasa.

"Saya rasa majlis penghargaan seperti ini harus kita adakan untuk mengingatkan bukan saja kepada guru tetapi juga ibu bapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 6:54 PM