KEADAAN bumbung rumah penduduk di Bukit Naning tercabut selepas dibadai ribut. FOTO Alias Abd Rani
KEADAAN bumbung rumah penduduk di Bukit Naning tercabut selepas dibadai ribut. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Bakri: "Kami terdengar dentuman kuat sebelum melihat bumbung tercabut satu persatu. Tanpa membuang masa, saya segera ke ruang tamu mendukung ibu terlantar dan dibawa ke bahagian dapur," kata Md Said Kutiran, 53, ketika menceritakan semula kejadian ribut di Kampung Parit Tengah, Bukit Naning, di sini, semalam.

Kejadian 4.30 pagi turut menjejaskan dua lagi kampung iaitu Parit Baru dan Parit Anuar menyebabkan lebih 20 rumah, premis perniagaan serta surau tercabut di bahagian kubah.

Md Said berkata, sebelum itu, dia berada di rumah ibunya Faisah Mokhti, 85, untuk menemaninya kerana wanita itu tidak mampu berjalan dan terlantar atas katil.

"Apabila terjaga saya melihat angin kencang disusuli hujan lebat. Tidak lama kemudian, angin itu menerbangkan satu persatu bumbung di bahagian ruang tamu yang kebetulan, ibu sedang terbaring atas katil di situ.

"Tanpa membuang masa, saya terus mendukung ibu dan membawanya ke ruang dapur memandangkan bahagian ini satu-satu yang tidak mengalami kerosakan.

"Saya peluk ibu sambil membaca ayat suci al-Quran dengan harapan tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas kami berdua," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Azali Sudar, 50, berkata, mereka bersyukur kerana sempat keluar sebelum bumbung rumahnya diterbangkan angin.

Bagi Muhammad Fitri Kisdi, 34, bengkel membuat gerabak jentera pertanian turut rosak akibat kejadian itu apabila sebahagian bumbung tercabut dan menghempap bangunan belakang.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Tengah, Rosdi Abd Rahman berkata, bantuan sudah disalurkan kepada semua penduduk yang terjejas dan pihakya masih menunggu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat penilaian bantuan yang wajar.

Penduduk di ketiga-tiga kampung mendapat bantuan Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin yang turut meninjau keadaan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 1:53 PM