Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kurang kesedaran dan tidak cakna terhadap orang kurang upaya (OKU) dipercayai menjadi punca segelintir warga kota bertindak menghalang laluan yang dikhususkan kepada golongan itu di sekitar Brickfields di sini.

Buktinya, apabila 1,082 saman dikeluarkan polis sepanjang Op Hormat Undang-Undang Polis Kuala Lumpur di kawasan berkenaan bermula 3 Julai sehingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, saman terbabit dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang menghalang lalu lintas dan laluan pejalan kaki serta meletak kenderaan secara haram.

Menurutnya, saman tertinggi yang dikeluarkan adalah halangan lalu lintas iaitu sebanyak 1,061 saman, diikuti larangan letak kenderaan (18) dan tiga kesalahan menghalang laluan OKU.

"Apabila kita (polis) menjalankan operasi dan mengeluarkan saman itu, ia membuka minda masyarakat di Kuala Lumpur bahawa di dalam kesibukan kita mencari nafkah setiap hari ada juga golongan kurang upaya yang turut mencari nafkah.

"Jadi, kita yang sempurna ini haruslah menghormati mereka dan mempunyai sikap bertanggungjawab," katanya dalam Program Menyantuni OKU Penglihatan di sekitar Brickfields di sini, hari ini.

Pada program berkenaan, Mohd Shuhaily turut berjalan dengan menggunakan penutup mata bagi merasai pengalaman menjadi golongan istimewa itu di sekitar Jalan Tun Sambathan di sini.

Ditanya pengalaman itu, beliau berkata, ia membuatkan dirinya lebih menghargai anugerah Allah SWT.

"Apabila tutup mata baru kita berasa betapa pentingnya deria. Kita bergerak dalam keadaan tidak nampak jadi deria rasa, bunyi dan bau digunakan sepenuhnya.

"Inilah kurniaan Allah kepada OKU penglihatan apabila deria lain mereka lebih peka. Apabila kita merasai sendiri pengalaman ini baru kita rasa pentingnya menghormati golongan ini dan lebih tanggungjawab," katanya.

Sepanjang pemantauannya di kawasan berkenaan, selain kenderaan terdapat juga gerai yang menghalang laluan OKU.

Justeru, beliau memohon agensi penguatkuasaan berkaitan untuk mengambil tindakan dan bersama-sama membantu golongan OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 2:16 PM
Shuhaily Mohd Zain menyantuni warga OKU penglihatan di sekitar jalan Jalan Tun Sambathan pada progran santuni warga OKU penglihatan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Shuhaily Mohd Zain menyantuni warga OKU penglihatan di sekitar jalan Jalan Tun Sambathan pada progran santuni warga OKU penglihatan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD