DATUK Ras Adiba Radzi. FOTO Arkib NSTP
DATUK Ras Adiba Radzi. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penyediaan kuota khas Orang Kurang Upaya (OKU) bagi program MyStep dalam Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam akan membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan OKU, kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Ras Adiba, Ahli Dewan Negara mewakili OKU berkata inisiatif itu akan memberikan pekerjaan serta memastikan kelangsungan hidup belia OKU.

"Penerusan program PENJANAKERJAYA yang telah memberi impak positif kepada JaminKerja merupakan satu tindakan yang baik oleh kerajaan.

"Ini akan membolehkan ramai OKU di luar sana dapat pekerjaan yang berkualiti mengikut kelulusan serta dapat memastikan mereka hidup berdikari tanpa bergantung kepada orang lain," katanya yang juga Presiden OKU Sentral dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata selain itu, RM30 juta yang diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU akan membolehkan bangunan-bangunan tersebut mematuhi Seksyen 34A Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan Akta OKU 2008.

"Sudah beberapa dekad, kami OKU terpaksa mengalami kesusahan dalam memasuki bangunan kerajaan yang kurang mesra OKU.

"Saya berharap agar peruntukan ini dapat digunakan untuk menyediakan laluan khas bagi OKU penglihatan, lif yang mempunyai tulisan braille, tandas OKU dan tanjakan yang sesuai untuk OKU dengan kecerunan tidak lebih daripada 1:12," katanya.

Beliau juga menyokong penuh peruntukan RM10 juta yang diberikan kepada Pusat Latihan Berdikari serta Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan (PLPP).

"Ini akan membantu menggalakkan dan mempercepatkan lagi proses pembangunan untuk OKU dari sudut pemerkasaan dan pengupayaan dengan penyertaan penuh. Bajet 2022 juga menekankan bahawa Program Pemulihan Dalam Komuniti akan diluaskan pelaksanaannya ke universiti-universiti awam lain.

"Saya berharap agar peruntukan turut disediakan bagi program intervensi awal serta menubuhkan pusat Genius Kurnia yang ketiga di negara ini. Intervensi awal akan memberikan perkhidmatan rawatan, pemulihan, bimbingan kepada kanak-kanak dan ibu bapa sebaik sahaja sesuatu ketidakupayaan dikesan dialami oleh kanak-kanak tersebut," katanya.

Ras Adiba juga menyambut baik jaminan yang ditawarkan kerajaan supaya semua rangkaian TV termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat.

"Usaha ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang dapat meningkatkan tahap aksesibiliti golongan OKU kepada maklumat dan komunikasi. Selain jurubahasa isyarat, penyediaan kemudahan sokongan seperti gambaran audio dan komunikasi alternatif augmentatif juga perlu diberikan fokus," katanya.

Beliau turut bersyukur peruntukan bagi isu kesihatan mental dinaikkan dari RM24 juta pada 2021 kepada RM70 juta bagi tahun depan, dan beliau yakin peruntukan itu dapat membantu mengatasi isu kesihatan mental yang melanda rakyat Malaysia.

Ras Adiba juga berharap agar kerajaan dapat menunaikan komitmen yang dinyatakan iaitu untuk memantapkan pengurusan Klinikal Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia seperti lisosomal dan penubuhan Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa harus dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.

Beliau turut meraikan inisiatif lain yang diumumkan seperti menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU, peruntukan kepada Majlis Sukan Negara khusus untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan melaksanakan Liga Sukan OKU.

Beliau menyambut baik Bajet 2022 yang bertemakan, "Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera" yang sememangnya inklusif, mampan dan seimbang tanpa meminggirkan mana-mana individu serta telah memberikan fokus yang amat ketara dalam soal pembangunan sosioekonomi golongan rentan.

"Mewakili komuniti saya, ingin saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang telah mendengar rintihan, suara dan luahan OKU di negara ini.

"Pertama kalinya pelbagai inisiatif diumumkan khusus buat komuniti OKU. Syabas buat kerajaan kerana memahami erti keterangkuman serta mengumumkan pelbagai inisiatif buat komuniti OKU Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 10:14 AM