GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Tiga wanita ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan kes lima bayi dan kanak-kanak disyaki didera di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata tiga suspek membabitkan pengurus dan guru taska berkenaan ditahan ketika rakaman percakapan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh Jumaat lalu susulan laporan polis dibuat seorang daripada bapa mangsa sehari sebelumnya.

Beliau berkata, lelaki 31 tahun itu mendapati anaknya yang berusia dua tahun cedera di lengan kiri ketika diambil dari taska terbabit dan mengesyaki ia akibat didera.

Yahaya berkata, susulan itu tiga suspek berkenaan berusia antara 26 hingga 51 tahun ditahan reman tujuh hari hingga 14 Julai ini bagi membantu siasatan.

"Setakat ini polis menerima lima laporan daripada ibu bapa lima orang kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun yang dijaga oleh pihak taska berkenaan.

"Kertas siasatan kes sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu kerana menganiayai kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 5:02 PM