Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Luyang, di sini, yang dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia empat tahun direman selama seminggu.

Wanita berusia 27 tahun itu direman bermula esok hingga 17 Ogos depan selepas kebenaran reman dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek ditahan malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes dera kanak-kanak di sebuah taska di Luyang.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Setakat ini, polis menerima tiga laporan daripada ibu mangsa, pengusaha taska dan pengasuh taska (suspek) yang mendakwa dikasari oleh bapa kanak-kanak terbabit," katanya.

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Khairul Shah Peri (kiri) dan Pegawai Penyiasat, Inspektor P Palaninathan dilihat keluar dari lokasi taska yang dikatakan berlakunya kes dera kanak-kanak di Luyang hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Phoong Jin Zhe dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris bersama pegawai serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Kinabalu mengadakan lawatan dan tinjauan di taska berkenaan, pagi tadi.

Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di taska di Luyang.

Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak lelaki ditampar dan dipukul menggunakan pembaris di bahagian muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 1:20 PM