Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Bilangan rumah terjejas ribut di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini, kini bertambah kepada 75 buah setakat jam 3 petang hari ini.

Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ali Hassan Ahmad Shamsuddin berkata, angka itu diperoleh berdasarkan aduan rasmi penduduk menggunakan borang laporan bencana disediakan pihaknya.

"Pada 8 pagi tadi penduduk yang melaporkan kerosakan akibat ribut semalam dan mengisi borang bencana sebanyak 39 rumah saja.

"Namun, bilangannya bertambah kepada 75 pada 3 petang tadi.

"Cuma kita belum dapat pastikan kerosakan dialami dan pegawai saya masih menjalankan siasatan," katanya Harian Metro.

Menurut Ali Hassan, beliau turut meninjau semula ke rumah beberapa penduduk terjejas teruk dan meminta penduduk melengkapkan borang bencana supaya layak dapat bantuan menerusi Tabung Bencana Alam Negeri.

Hujan lebat dan angin kencang bermula jam 6.45 petang semalam menyaksikan beberapa rumah penduduk khususnya Durian Tunggal di Alor Gajah dan Peringgit di Melaka Tengah mengalami kerosakan dan terputus bekalan elektrik selain beberapa insiden pokok tumbang.

Susulan itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Belimbing Dalam membabitkan 13 mangsa dari empat keluarga.

Seorang mangsa, Norisham Hashim, 38, berkata, dia yang tinggal sendirian sedang memasak sebelum dikejutkan dengan kejadian atap dapur dan bilik diterbangkan ribut.

"Bunyi deruan angin sangat kuat di belakang rumah, tiba-tiba saja atap zink dapur dan bilik terangkat dan melayang sebelum jatuh depan rumah.

"Saya bergegas lari ke ruang tamu menyelamatkan diri hinggalah keadaan reda," katanya.

Pekerja kedai perkakasan itu berkata, bukan saja atap rumah yang baru dibaiki rosak, malah kereta Perodua Kancil miliknya kemek di bahagian bumbung ditimpa struktur atap itu.

Ibu tunggal, Norshima Alus,48, berkata, dia bersama dua anak terpaksa menumpang di PPS Balai Raya Kampung Belimbing Dalam disebabkan atap rumahnya berlubang diterbangkan ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 7:25 PM
KEADAAN rumah yang rosak dilanda ribut. FOTO Syafeeq Ahmad
KEADAAN rumah yang rosak dilanda ribut. FOTO Syafeeq Ahmad