PENDUDUK sakit diturunkan melalui tangga untuk dihantar ke hospital disebabkan lif gagal berfungsi.
PENDUDUK sakit diturunkan melalui tangga untuk dihantar ke hospital disebabkan lif gagal berfungsi.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perunding Badan Pengurusan Bersama (JMB) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak sedang mengaturkan sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi menangani isu lif rosak yang 'menghantui' penduduk di situ.

Pengerusi JMB, Ahmad Faizul Muhamad Hasbi berkata, perbincangan akan membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), syarikat lantikan DBKL bagi membekal dan memasang lif di PPR Seri Semarak iaitu Dong Yang Elevator (M) Sdn Bhd (Dong Yang) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa mutlak kecuali membantu sahaja sekiranya ada aduan kerosakan.

Katanya, JMB sudah mengambil alih 100 peratus pengurusan aset dari DBKL secara rasmi pada 1 Januari lalu namun pengurusan lif belum lagi diserahkan secara rasmi kepada JMB dan ia masih di bawah DBKL.

"Keseluruhan pengurusan sudah diserahkan oleh DBKL kepada JMB, tetapi tidak membabitkan sistem lif dan kontrak lama masih di bawah DBKL dengan Dong Yang.

"Namun, perunding JMB akan mengaturkan perbincangan dengan wakil pihak terbabit bagi mencari jalan dan meluahkan ketidakpuasan dengan prestasi sistem lif Dong Yang ini," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan penduduk di lima blok bangunan di PPR Seri Semarak di sini, yang berdepan masalah lif rosak walaupun masih baharu.

Masalah lif menyulitkan aktiviti harian penduduk terutama bagi pelajar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Beliau berkata, JMB sudah banyak kali bersemuka dan memanjangkan isu ini kepada DBKL dan Dong Yang, tetapi kerosakan yang sama tetap berlaku, malah pihak terbabit sedia maklum mengenai masalah itu.

"Punca mengapa lif sering rosak, DBKL dan Dong Yang sepatutnya ada jawapan. JMB selalu tekankan kepada penduduk agar sentiasa menjaga dan bertanggung jawab apabila menggunakan lif baharu.

"Namun, berdasarkan pemerhatian kami lif baharu ini nampaknya tidak tahan lasak," katanya.

Ahmad Faizul berkata, JMB sangat berharap serahan rasmi pengurusan lif hanya dilakukan selepas segala permasalahan tidak masuk akal termasuk isu lif kerap rosak diselesaikan 100 peratus.

"Kami khuatiri apabila semua diserahkan kepada JMB nanti, pihak kami terpaksa berdepan dengan kos penyelenggaraan tinggi.

"Kami sangat mengharap pihak berkuasa segera datang menyiasat masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 7:01 AM