TANGKAP layar video tular memapar Datuk Rozi bersama beberapa lagi individu menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik di sebuah alor sungai. FOTO ihsan Pembaca
TANGKAP layar video tular memapar Datuk Rozi bersama beberapa lagi individu menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik di sebuah alor sungai. FOTO ihsan Pembaca
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Jabatan Perikanan Terengganu mengambil keterangan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong Datuk Rozi Mamat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik, semalam.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, siasatan mengenai perkara itu dilakukan sebaik pihaknya menerima laporan berkaitan video yang tular pada Isnin lalu.

"Kita sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Penasihat Undang-Undang negeri untuk tindakan lanjut.

"Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 3 Kaedah-kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kaedah menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang antaranya racun, bahan letupan dan perlatan-peralatan mekanikal atau elektrik adalah tidak dibenarkan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 24 saat memaparkan seorang lelaki bersama beberapa orang lagi sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik di sebuah alur sungai.

Sementara itu, Rozi ketika dihubungi berkata, beliau menafikan menggunakan kaedah renjatan elektrik untuk menangkap ikan di alur sungai berkenaan.

"Sebenarnya alat berkenaan menggunakan kuasa bateri motosikal bervoltan rendah kebiasaannya digunakan penduduk untuk menangkap ikan yang akan dijadikan umpan sahaja.

"Ikan banyak yang dipaparkan dalam video berkenaan adalah hasil daripada aktiviti menjala, dan bukannya menggunakan peralatan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 2:11 PM