TANGKAP layar daripada video tular memaparkan pergaduhan sekumpulan individu berhampiran pusat hiburan di Georgetown.
TANGKAP layar daripada video tular memaparkan pergaduhan sekumpulan individu berhampiran pusat hiburan di Georgetown.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lapan individu termasuk wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan pergaduhan di jalan raya berhampiran pusat hiburan di sini, yang videonya tular di media sosial.

Mereka ditahan pasukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut susulan laporan dibuat lelaki berusia 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa warga tempatan mendakwa dipukul sekumpulan lelaki di luar pusat hiburan pada 2.15 pagi semalam.

"Susulan laporan, kesemua suspek berusia 21 hingga 29 tahun diberkas di tiga lokasi berasingan sekitar Georgetown antara 7.30 malam (semalam) hingga 12.30 tengah malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Soffian berkata, hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek positif ganja dan erimin 5, manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Siasatan awal juga mendapati pergaduhan tercetus kerana pertengkaran mulut akibat mabuk, yang akhirnya membawa kepada insiden itu," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 1:36 PM