Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar

i

Kuala Terengganu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dijangka dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas selesai menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

Pada sesi menghadap itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang memohon perkenan cadangan tarikh pembubaran DUN Terengganu pada esok.

Ahmad Samsuri dalam sidang media ringkasnya di luar pekarangan istana memaklumkan telah mempersembahkan cadangan pembubaran tarikh DUN Terengganu.

Beliau berkata, satu kenyataan rasmi berkaitan pembubaran DUN Terengganu akan dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini sebaik mendapat perkenan Sultan Mizan.

AHMAD Samsuri selepas selesai menghadap  Sultan Mizan bagi mendapat perkenan membubarkan DUN Terengganu. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri selepas selesai menghadap Sultan Mizan bagi mendapat perkenan membubarkan DUN Terengganu. FOTO Ghazali Kori

"Alhamdullillah, apa pun kita tunggu dokumen disahkan dan ditandatangani oleh Kebawah Duli (Tuanku) , baharu saya akan buat pengumuman, kita cadang pada hari esok," katanya.

Kenderaan membawa Naib Presiden PAS itu meninggalkan pekarangan Istana Syarqiyyah, 9.18 pagi tadi.

DUN Terengganu akan terbubar secara automatik, 30 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS yang menguasai 22 kerusi DUN merampas Terengganu daripada BN yang memenangi 10 kerusi DUN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 11:22 AM