ISTANA Syarqiyyah, Chendering. FOTO Arkib NSTP
ISTANA Syarqiyyah, Chendering. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu dijadual mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin petang ini.

Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan EXCO itu dijadual berlangsung di Balairong Seri Istana Syarqiyyah di sini, 2.30 petang

Bagaimanapun, tidak dinyatakan siapa pemimpin yang akan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar itu.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka akan dilantik buat penggal kedua.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) Terengganu mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri selepas menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dun.

Kepimpinan Pas Terengganu semalam juga sudah mempersembahkan nama calon Menteri Besar bagi mendapat perkenan Sultan Mizan.

Nama calon Menteri Besar itu dipersembahkan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang kepada Sultan Mizan di Istana Syarqiyyah di sini, 9 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 7:51 AM