Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada hujung Jun ini bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, ia bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan penggal tarikh akhir pemerintahan kerajaan negeri adalah pada akhir bulan hadapan.

Beliau berkata, Terengganu juga senada dengan lima negeri lain untuk membubarkan DUN serentak bagi membolehkan PRN diadakan pada masa yang sama.

"Kita akan buat (menghadap Tuanku) bila sampai waktunya, Insya-Allah (dan) ada sudah tarikh tetapi saya tak nak bagi tahu tarikh bila.

"Selepas minggu ketiga Jun, Insya-Allah, saya akan menghadap Sultan Terengganu dan minta pembubaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Terengganu di Dataran Shah Bandar di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, pertemuan itu hanya untuk memohon perkenan Sultan Mizan bagi pembubaran DUN dan tidak membabitkan senarai calon yang akan bertanding.

"Bubar saja dan nama calon tidak ada kaitan dengan pihak istana (tetapi) ia adalah keperluan parti masing-masinglah yang akan menentukannya," katanya.

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) beramah mesra bersama pengunjung pada majlis Rumah Terbuka Eidulfitri PAS Terengganu di Taman Syahbandar. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) beramah mesra bersama pengunjung pada majlis Rumah Terbuka Eidulfitri PAS Terengganu di Taman Syahbandar. FOTO Ghazali Kori

Sebelum ini, enam negeri mencapai persetujuan untuk membubarkan DUN pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.

Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan, di bawah teraju Perikatan Nasional (PN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 3:51 PM