GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ali Iqbal


Muar: Kehidupan mewah sindiket yang dipercayai meraih hasil lumayan menerusi kegiatan penyeludupan tidak berpanjangan apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri menyerbu sebuah rumah di Seri Menanti, Parit Jawa, di sini, merampas rokok dan arak bernilai lebih RM100,000, semalam.

Sindiket itu dikatakan baru sebulan berkecimpung dalam aktiviti penyeludupan dan menjadikan sebuah rumah sebagai stor menyimpan barang diseludup dipercayai dari negara jiran sebelum dipasarkan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kegiatan itu terbongkar hasil intipan serta maklumat awam sekali gus membawa kepada serbuan pada 12.10 tengah malam.

Menurut Raiz Mukhliz, dalam serbuan itu juga, polis menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang disyaki dalang kepada sindiket terbabit.

"Suspek baru seminggu bekerja dengan sindiket itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan arak tanpa cukai.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 1,631 karton rokok dan 72 botol arak dengan nilai rampasan keseluruhan ialah RM103,514. Serbuan turut dibantu pasukan task force Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

"Siasatan mendapati, suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan beberapa kesalahan sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, suspek boleh dikenakan hukuman denda 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, mana lebih besar, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Justeru katanya, polis menasihatkan orang ramai tidak terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan perlu bekerjasama menyalurkan maklumat mengenai sindiket ini.

"Polis akan terus menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Muar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 8:53 AM