Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bekalan lembu untuk tujuan ibadah korban menjelang Aidiladha tidak lama lagi mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang rungutan berhubung isu kekurangan bekalan lembu untuk ibadah korban.

Malah katanya, harga lembu juga tidak terlalu tinggi walaupun ia tidak menentu memandangkan faktor harga bergantung kepada jumlah bekalan.

"Setakat ini kita tidak terima sebarang rungutan dan hasil tinjauan kita mendapati bekalan lembu untuk Aidiladha adalah mencukupi.

"Harga memang tidak menentu kerana ia bergantung kepada bekalan. Jika kos yang perlu ditanggung peniaga lembu itu tinggi termasuk kos kuarantin, maka mungkin harga yang dijual sedikit tinggi.

"Insya-Allah kita tidak berdepan masalah bekalan lembu untuk Aidiladha nanti. Bukan sahaja lembu, bekalan-bekalan lain juga tidak berdepan sebarang masalah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan jualan sayur-sayuran dan buah-buahan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.

Mengulas mengenai tinjauannya itu, Mohamad berkata, harga sayur dan buah buahan di pasar berkenaan lebih murah berbanding di negeri lain.

Katanya, ia kerana 40 peratus bekalan sayur sayuran serta buah buahan di RTC Tunjung itu datang dari Thailand yang menyebabkan harga lebih murah berbanding negeri lain.

"Kita harap dapat menyediakan bekalan makanan yang berterusan dan peniaga tidak menaikkan harga barangan secara mendadak," katanya.

Pada lawatannya itu juga, Mohamad turut mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf bilik sejuk dan stor Fama di Tunjung selain RM200,000 untuk menaik taraf medan kuih muih di RTC Tunjung.

Tinjauan harga keperluan harian berpatutan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan harga keperluan harian berpatutan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 1:38 PM