GAMBAR hiasan. FOTO arkiba NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkiba NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memulakan projek rintis penanaman padi lima musim bagi tempoh dua tahun membabitkan keluasan 30,000 hektar.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek tanaman itu dijangka dimulakan September ini.

Katanya, untuk permulaan, pihaknya memberi tumpuan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terlebih dahulu sebelum diperluas ke kawasan lain.

"Keluasan MADA adalah 100,000 hektar, namun untuk projek lima musim ini kita mulakan di tanah seluas 30,000 hektar terlebih dahulu.

"Kita akan pastikan sistem pengairan ditambah baik supaya dapat membekalkan air sepanjang masa. Kita juga percaya dengan teknologi baru dan benih padi yang pelbagai dan sudah diuji itu mampu meningkatkan lagi hasil padi.

"Jika dilihat hasil padi paling tinggi di Malaysia adalah di Sekinchan dimana mereka memperoleh tujuh hingga 12 tan hasil padi bagi setiap hektar. Untuk MADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) pula hanya memperoleh sekitar lima tan sahaja," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim.

MOHAMAD Sabu (dua kiri) ketika tinjauan harga di RTC Tunjong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMAD Sabu (dua kiri) ketika tinjauan harga di RTC Tunjong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, media melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan meningkatkan pengeluaran padi melalui kaedah penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun, selain bersetuju dengan pelaksanaan sistem ternakan tertutup bagi pengurusan ladang produktif dan selamat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan dua perkara itu antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN), semalam.

Katanya, anntara perkara dibincangkan adalah berkenaan cadangan untuk meningkatkan produktiviti penanaman padi melalui kaedah penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun dan kerajaan akan menilai kaedah pelaksaan bagi memastikan cadangan dapat direalisasikan dengan segera.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekiranya apa yang dilakukan itu menyaksikan hasil padi bertambah, pihaknya akan memperluas ke kawasan lain termasuk KADA.

"Saya yakin dengan teknologi baharu, kita buat dengan skala yang lebih besar dan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun, kita mampu mencapai Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran padi.

"Kita mungkin hanya mengimport beras yang mahal sahaja. Untuk mencapai ke arah itu, kita mahu petani bersedia untuk melakukan perubahan dengan melaksanakan padi ke skala yang lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 12:43 PM