Mohamad mengendali jentera mesin menanam padi selepas merasmikan SMART SBB di Pasir Puteh, 28 Januari lalu. FOTO Bernama
Mohamad mengendali jentera mesin menanam padi selepas merasmikan SMART SBB di Pasir Puteh, 28 Januari lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Bharu: Petani di Bendang Tok Ajam, Pasir Puteh, di sini mula mengaplikasikan amalan Smart Sawah Padi Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan bagi meningkatkan pengeluaran padi.

Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Jawa Mohd Faiza Hashim berkata, projek rintis membabitkan 35 pesawah dengan kawasan seluas kira-kira 68,000 hektar itu, di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

"Rata-rata pesawah teruja dengan pengenalan kaedah penanaman yang menggunakan mesin Rice Transplanter atau di Kelantan dipanggil 'mencedung' yang menjimatkan masa biarpun teknologi baharu ini memerlukan kos agak tinggi berbanding tabur terus.

"Penanaman padi ini bermula seawal Januari lepas dan menggunakan benih padi jenis MR 297 yang berkualiti seperti disarankan serta disahkan oleh Jabatan Pertanian bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata, memandangkan kaedah itu masih baharu dalam kalangan pesawah di negeri sini, khidmat konsultan digunakan bagi memberi bimbingan hingga mereka mahir.

Ahad lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyasarkan kira-kira 150,000 hektar kawasan tanaman padi di seluruh negara menggunakan amalan Smart SBB Ala Sekinchan menjelang 2030.

Dalam pada itu, Mohd Faiza berkata antara kriteria utama untuk memastikan program itu berjaya, petani perlu mengikuti proses penanaman mengikut jadual, mematuhi jadual pembajaan dan penjagaan yang rapi.

"Padi ini ditanam pada Januari dan dijangka boleh dituai selepas 100 hari iaitu pada April. Ia akan diteruskan secara berperingkat selepas ini.

"Petani ini juga diberi kemudahan infrastruktur lengkap dan menteri juga mahu mereka ada perubahan sikap bekerja iaitu menaman padi bukan secara sambilan tetapi sepenuh masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 5:07 PM