POLIS memburu Muhammad Haikal selepas didapati turut terbabit dalam kes kecurian. FOTO Ihsan Polis
POLIS memburu Muhammad Haikal selepas didapati turut terbabit dalam kes kecurian. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tindakan seorang wanita mencuri seutas gelang tangan emas dipercayai bagi melangsaikan hutang kereta milik teman lelakinya mengundang padah apabila ditahan di sebuah pangsapuri di Rawang, Selangor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 22 tahun itu mengaku mencuri gelang tangan terbabit dari sebuah kedai emas di Port Dickson pada 7 Disember lalu, sebelum melarikan diri dengan kereta Perodua Alza.

"Polis menerima laporan daripada wanita berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pembantu jurujual di kedai emas itu mendakwa pada hari sama jam 11.38 pagi, dia didatangi pasangan yang ingin membeli barang kemas.

"Suspek melarikan gelang tangan emas dianggarkan menilai lebih kurang RM15,000 dengan menaiki kenderaan Perodua Alza, bagaimanapun bertindak atas siasatan, polis berjaya menahan wanita terbabit di sebuah pangsapuri di Rawang, Selangor pada 16 Disember (Jumaat lalu)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Aidi Sham berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas kembali gelang tangan emas yang sudah dipajak di sebuah kedai di Seremban.

Beliau berkata, wanita terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan sudah pun dihukum penjara sehari dan didenda RM7,000.

Katanya, polis kini masih mengesan teman lelaki suspek, Muhammad Haikal Izhar, 20, beralamat di Bandar Sri Sendayan yang turut terbabit dalam kes kecurian itu dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Hazizi Abas di talian 019-3471916 / 06-6472344.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 10:22 PM