MENDIANG Zeno, penderma organ keempat di Sabah, tahun ini. FOTO ihsan JKNS
MENDIANG Zeno, penderma organ keempat di Sabah, tahun ini. FOTO ihsan JKNS
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang meninggal dunia kerana masalah perubatan baru-baru ini menjadi penderma organ keempat di Sabah, tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, mendiang Zeno Linos, 31, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Katanya, selepas keluarga dimaklumkan mengenai pilihan untuk menderma organ, pihak keluarga bersetuju mendermakan mata (sepasang kornea) kepada pesakit yang memerlukan.

"Prosedur pendermaan kornea disempurnakan dan kemudian berjaya ditransplan ke atas dua pesakit di HQE.

"Kedua-dua penerima terbabit ini dalam proses penyembuhan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Rose Nani berkata, pihaknya mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas anugerah kehidupan yang diberikan.

"Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga tabah menghadapi kehilangan ini," katanya.

Mendiang Zeno yang berketurunan Dusun adalah anak kelima daripada tujuh beradik dan belum berkahwin.

Walaupun sedih atas kehilangan orang tersayang, pihak keluarga bersyukur di atas peluang menjalankan kebaikan dan berharap supaya menjadi contoh kepada masyarakat khususnya di Sabah mengenai pendermaan organ.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 10:21 PM