Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kornea mata yang didermakan penderma organ ketiga Sabah berjaya memulihkan penglihatan tiga pesakit, tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, Allahyarham Finno Joitol yang berusia 54 tahun berikrar sebagai penderma dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Katanya, keluarga arwah bersetuju mendermakan kornea mata selepas dimaklumkan mengenai pilihan organ dan prosedur pendermaan disempurnakan di HQE.

"Kornea yang didermakan berjaya ditransplan dan memulihkan penglihatan tiga pesakit iaitu kornea kanan kepada seorang penerima, manakala dan kornea kiri dibahagikan kepada dua penerima.

"Pihak keluarga turut berbesar hati supaya kisah pendermaan ini boleh menjadi dorongan kepada orang ramai khususnya masyarakat di Sabah supaya tampil menjadi penderma organ," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Dr Rose Nani berkata, pihaknya merakamkan setinggi penghargaan kepada keluarga arwah dan berterima kasih atas kurniaan itu yang menjadi anugerah buat pesakit memerlukan.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.

"JKNS menyeru orang ramai menjadikan kemuliaan penderma organ dan keluarga mereka sebagai teladan," katanya.

Pendaftaran sebagai pengikrar penderma organ boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 11:25 PM