AMIRUDIN (tengah) ketika menghadiri Majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 di Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini.Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim (kiri). FOTO Bernama.
AMIRUDIN (tengah) ketika menghadiri Majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023 di Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini.Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim (kiri). FOTO Bernama.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada minggu ketiga atau keempat Jun ini.

Amirudin berkata, sesi mengadap berkenaan akan dilakukannya sebelum 25 Jun iaitu tarikh pembubaran automatik dewan itu.

"Sebelum tarikh itu (25 Jun), saya akan mengadap dan menyampaikan hasrat bila tarikh yang kita nak bubar. Dalam minggu ke tiga dan ke empat Jun (mengadap Sultan Selangor).

"Sebab ini persefahaman antara kami Menteri Besar yang mana tarikh ini akan memberi peluang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk adakan pilihan raya secara sekali.

"Kami bersepakat untuk membubarkan DUN bersama kerana tidak mahu menyusahkan SPR membuat Pilihan Raya Negeri (PRN) berkali-kali," katanya pada pemberita selepas Majlis Ehsan Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini, hari ini.

Selain Selangor, lima negeri lain yang akan mengadakan PRN adalah Negeri Sembilan; Kelantan; Terengganu; Pulau Pinang dan Kedah.

Ditanya perkembangan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Amirudin berkata sekitar tujuh kerusi masih dalam perbincangan untuk dimuktamadkan.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri berbelanja RM37 juta bagi pelaksanaan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) termasuk Jelajah Ehsan Mega Aidilfitri (JMEA) sejak September 2022 hingga Mei lalu.

Beliau berkata, siri jualan berkenaan memberi manfaat kepada sekitar 2.5 juta rakyat.

Katanya, siri jualan berkenaan akan diteruskan dengan Jualan Ehsan Rahmah yang akan dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Perbincangan lanjut akan kita adakan bersama KPDN dan diharapkan program ini dapat dilaksanakan pada Jun ini," katanya.

Dalam pada itu, PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar semasa penganjuran JMEA pada April lalu.

Rekod berkenaan adalah bagi jualan 30,000 ekor ayam dan 10,712 papan telur sepanjang dua hari penganjuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 5:32 PM