KEADAAN motosikal dinaiki dua pelajar yang mahu menyertai program AADK di Telok Kemang selepas terlibat kemalangan di Kilometer 7 Jalan Bahau - Batu Kikir. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal dinaiki dua pelajar yang mahu menyertai program AADK di Telok Kemang selepas terlibat kemalangan di Kilometer 7 Jalan Bahau - Batu Kikir. FOTO Ihsan PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Hasrat seorang pelajar yang mahu menyertai program skuad antidadah di Telok Kemang, Port Dickson tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di di Kilometer 7 Jalan Bahau - Batu Kikir, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian 7.40 pagi itu, Muhammad Rizal Hakimi Yusrizalhanasri, 17, yang membonceng Yamaha Y15ZR ditunggang rakan sekolahnya maut di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dan rakannya yang berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor dipercayai dalam perjalanan ke pejabat Agensi ASntidadah Kebangsaan (AADK) di Serting untuk berkumpul sebelum bergerak ke Telok Kemang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal Honda EX5 ditunggang lelaki berusia 44 tahun dari arah rumahnya di Kampung Serting Ilir menuju ke sebuah kedai berhampiran.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang rakan mangsa melanggar belakang motosikal lelaki itu.

"Akibat kemalangan itu, motosikal dinaiki mangsa merempuh penghadang jalan menyebabkan dia tercampak," katanya hari ini.

Hoo berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Klinik Kesihatan Bahau akibat parah di kepala manakala rakan mangsa patah kaki kanan dan luka di muka.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal Honda EX5 pula patah kaki kiri.

"Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 2:58 PM